MESRA…Fadillah (berdiri tiga kanan) menyantuni para hadirin di majlis makan malam Ahli dan pimpinan GPS Sibu di Dewan MUC Kampung Nangka

SIBU: Lebih 70 peratus projek persekutuan akan dikendalikan Sarawak sepenuhnya menerusi pelepasan projek RM50 juta dan ke bawah kepada Sabah dan Sarawak, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Katanya, inisiatif tersebut bertujuan mempercepatkan projek kendalian peringkat negeri (Sabah dan Sarawak) tanpa perlu merujuk di peringkat pusat.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak atau jabatan teknikal yang mengendalikan projek pusat di bawah RM50 juta akan diuruskan oleh Sabah dan Sarawak supaya dapat mempercepatkan gerak kerja projek.

“Ini bermaksud sekolah, klinik dan balai bomba boleh terus dilaksanakan terutamanya projek-projek jalan kampung dapat dilaksanakan JKR Sarawak,” katanya pada majlis makan malam bersama Ahli dan pimpinan GPS Sibu di Dewan MUC Kampung Nangka, pada Jumaat (6 Januari).

Tegas Fadillah, usaha tersebut bukti suara rakyat didengari, sekali gus mengiktiraf peranan Gabungan Parti Sarawak (GPS) penting dalam pembentukan kerajaan perpaduan.

“Inilah yang perlu kita laksanakan dan kena buktikan bagi memastikan kerajaan masa kini berkekalan dalam tempoh lima tahun akan datang.

“GPS mengambil peranan penting dalam membentuk dan memastikan kestabilan politik di negara ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menegaskan agar gerak kerja khususnya di peringkat ranting memberikan perkhidmatan terbaik bermula di peringkat akar umbi.

 

Suara Sarawak