Pasukan bomba mengeluarkan mata kail dengan berhati-hati dalam operasi khas di Jalan Sharif Mansor Sarikei.
Pasukan bomba mengeluarkan mata kail dengan berhati-hati dalam operasi khas di Jalan Sharif Mansor Sarikei.

SARIKEI:  Pasukan bomba menyelamatkan seekor kucing jantan yang tertusuk mata kail dalam satu operasi khas di Jalan Sharip Mahsor di sini, hari ini.

Insiden dilaporkan berlaku pada jam 10.43 pagi tadi, selepas pemilik haiwan itu menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.

Ketua Balai dan Penyelamat Sarikei Mahmudin Narudin berkata, mata kail itu tertusuk pada bahagian pipi menyebabkan si comel itu kesakitan dan sukar untuk makan.

“Kita difahamkan, pemiliknya cuba untuk mengeluarkan mata kail itu namun tidak berjaya. Bimbang dengan keselamatan haiwan kesayangannya, dia akhirnya menghubungi bomba,” katanya ketika dihubungi.

Mahmudin berkata, anggotanya memulakan operasi dengan memotong mata kail tersebut sebelum mengeluarkannya dengan berhati-hati.

“Operasi dijalankan dalam beberapa minit sebelum berakhir pada jam 11.26 pagi,” katanya.

Dalam pada itu, pemiliknya, Suziana, 39, berkata, dia menyedari kejadian selepas melihat keadaan kucingnya yang agak comot selepas berkeliaran sejak dua hari lalu.

Ujarnya, sebaik sahaja melihat dari dekat, dia terkejut apabila mendapati ada mata kail tersangkut pada pipi haiwan berkenaan.

“Sehubungan itu, saya ingin terima kasih kepada semua anggota bomba yang menyelamatkan kucing saya,” katanya.

Suara Sarawak