Abang Johari ketika berucap dalam majlis AUBS 2022 di Riverside Majestic Hotel FOTO UKAS

KUCHING: Sisa biojisim kelapa sawit boleh dimanfaatkan dan diproses sebagai makanan untuk menyara haiwan ternakan, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata apabila negeri mempunyai bekalan makanan haiwan sendiri, isu peningkatan harga telur dan daging ayam dapat dikawal.

“Jika kita menternak ayam, ia juga perlu diberi makan. Kita terpaksa import makanan haiwan dari luar negara sehingga membelanjakan berbilion ringgit.

“Apabila ringgit kita rendah, sudah tentu bayaran import lebih tinggi dan harga juga naik. Sekali gus, menyebabkan harga telur dan ayam ikut meningkat.

“Sedangkan, kita mempunyai sumber untuk mengeluarkan makanan haiwan dari sisa kelapa sawit yang ada. Tetapi, ia dibuang begitu sahaja,” katanya ketika berucap dalam majlis Anugerah Usahawan Bumiputera Sarawak (AUBS) 2022 di Riverside Majestic Hotel, di sini, Jumaat lalu.

Justeru, Abang Johari menyeru agar usahawan bumiputera cuba meneroka ekonomi kitaran untuk dijadikan sebagai industri baharu.

Menurutnya, usahawan yang mempunyai latar belakang pendidikan seperti ahli kimia, biologi dan apa-apa yang berkaitan boleh menyelidik perkara ini lebih lanjut.

Katanya, modal teroka (venture capital) di bawah industri kecil dan sederhana (IKS) akan disediakan sekiranya ada yang berminat.

Suara Sarawak