CALON TERBAIK…Abang Suhordie.

 

KUCHING: Jika kebanyakan peminat terus berteka-teki mahu menyaksikan siapa calon baharu untuk jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).

Tidak kurang yang terus memberi bayangan penggiat dunia sukan tersohor Sarawak, Abang Suhordie Abang Zaini, 53, merupakan calon paling layak duduk di kerusi kedua terpenting dalam exco badan induk berkenaan.

Abang Suhordie merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA).

Mempunyai personaliti dan cara tersendiri dalam membangunkan serta mengangkat dunia bola sepak Sarawak untuk kembali disegani.

Anak bongsu dari lapan orang adik-beradik berasal dari Kampung Spaoh, Betong itu merupakan seorang ahli perniagaan yang begitu disegani dan aktif dalam dunia politik.

Mengimbau sejenak perjalanannya dalam dunia bola sepak, Abang Suhordie pernah memegang jawatan Naib Presiden FAS (2016-2018). Selain merupakan Pengerusi Pembangunan Bola Sepak dan Kejurulatihan FAS (2016-2018).

Nama beliau cukup dikenali dalam arena bola sepak tempatan. Kredibiliti yang ada padanya tidak perlu dipersoalkan lagi.

Pernah menjadi Penolong Pengurus Sarawak United FC (2021) yang turut menyaksikan SU FC kembali bersaing ke kancah Liga Super 2022, Pengurus Pasukan Belia Sarawak (2017-2018) yang sekali gus menyaksikan skuad pelapis itu berada di kedudukan kelima secara keseluruhan.

Pernah membawa skuad muda Betong muncul naib johan pada Kejohanan Bola Sepak Piala Belia Sarawak, Miri 2015.

Mempunyai pengalaman serta tatacara pengurusan kewangan terbaik dalam persatuan BDFA, malah ketika ini berjaya membawa banyak perubahan dalam mencakupi pelbagai aspek.

Suara Sarawak