KUCHING: Tokoh sukan berpengalaman luas, Abang Zulkarnain Abang Abdul Rahman merupakan calon tunggal yang akan bertanding untuk jawatan presiden pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), 2023-2025.

Presiden FAS Datuk Posa Majais menegaskan, sebanyak 15 borang pencalonan sah diterima pihaknya sebaik tempoh penghantaran borang berakhir Jumaat lalu.

Bagaimanapun, katanya hanya satu borang pencalonan diterima bagi jawatan presiden yang menyaksikan nama Abang Zulkarnain Abang Abdulrahman tersenarai.

ABANG ZULKARNAIN…Calon tunggal.

“Hanya nama beliau sahaja yang diterima untuk bertanding bagi jawatan presiden pada AGM FAS 2023-2025,” ujar Posa kepada Arena Suara Sarawak.

Berbanding, empat individu yang akan bertanding bagi merebut jawatan timbalan presiden FAS, termasuk Mohamad Saif Jubaidi yang cuba mempertahankan jawatan disandangnya ketika ini.

Selain, Phillip Jabu yang juga Naib Presiden FAS, Abang Suhordie Abang Zaini (Presiden BDF) dan Kamaruddin Ahmed Junaidi.

Sementara itu, 10 individu akan bertanding bagi merebut lima slot untuk jawatan Naib Presiden FAS.

“Tiga daripadanya merupakan Naib Presiden FAS sedia ada iaitu Nicol Agoi, Awang Madehi Awang Yatim dan Abdul Razak@Razak Salleh.

“Di samping, Khairulddin Qalam Daud, Khairul Anuad Adeni, Daniel Punang, Wan Abidin Wan Badhi, Majer (B) Moses Ripai, Abdul Ajis Kon Mohamad Ghazali Ismail dan Abdul Rahman Abdul Rahim,” tambah Posa lagi.

Menurut Posa, mesyuarat bagi memilih barisan exco baharu badan induk (FAS) itu akan berlangsung di Sarikei pada Sabtu nanti (28 Januari).

Suara Sarawak