SARIKEI: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei melakukan pemantauan rapi di beberapa penempatan berhampiran tebingan sungai, di sini, susulan laporan kemunculan sang bedal ketika air pasang besar di kawasan berkenaan.

Ketua Balai BBP Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, setakat ini pihaknya menerima laporan kejadian berlaku di Kampung Baji.

Katanya, penduduk menyuarakan kebimbangan kerana haiwan itu sering timbul di permukaan air tidak jauh dari kediaman mereka.

Rakaman foto menunjukkan seekor buaya di bawah titian ketika air pasang besar di Kampung Baji, Sarikei.

“Dalam satu foto yang sempat dirakamkan oleh penduduk, kita boleh melihat kelibat repitilia ini dengan jelas di bawah titian. Kejadian ini dilaporkan berlaku semasa air pasang besar.

“Bagaimanapun ketika rondaan dilakukan, kita tidak menjumpai buaya seperti yang dilaporkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam pada itu, penduduk yang tinggal di kawasan rendah diminta terus berwaspada berikutan fenomena air pasang besar yang melanda daerah ini sejak beberapa hari lalu.

Suara Sarawak