Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia)

KUCHING: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan sehingga 5 Januari ini membabitkan Sabah dan Sarawak.

Ketua Pengarah MetMalaysia Helmi Abdullah berkata, berdasarkan analisis model-model cuaca, penumpuan angin dijangka berlaku di Sabah dan Barat Sarawak.

Selain itu katanya, amaran hujan berterusan turut melibatkan negeri pantai timur iaitu Kelantan dan Terengganu pada 6 hingga 9 Januari 2023.

“Keadaan ini berpotensi menghasilkan hujan berterusan di kawasan berkenaan dalam tempoh tersebut.

“Sementara itu, Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora di Laut China Selatan masih berkuat kuasa sehingga 5 Januari 2023,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru katanya, orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.

Sementara itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada pada jam 1.30 petang tadi yang dijangka berlaku di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman (Sri Aman), Betong, Sarikei, Sibu (Sibu) dan Mukah (Tanjung Manis, Daro, Matu dan Dalat)

Menurut MetMalaysia, amaran tahap buruk dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan bakal berlaku dengan jumlah hujan melebihi 60 mm dalam tempoh enam jam.

Sementara amaran waspada pula katanya jika terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan/ribut petir sedang/dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan.

Suara Sarawak