KUCHING: Padah mengangkut tujuh orang warganegara Indonesia yang diseludup masuk ke negara ini melalui Jalan Serian/Tebedu, seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai menjatuhkan hukuman terhadap Maurice Teru, 27, yang bekerja sebagai petani selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapannya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengangkut tujuh migran menggunakan sebuah kereta Proton Wira di tepi jalan Kampung Tangga , Jalan Serian/Tebedu, kira-kira jam 11.15 malam, 1 Ogos 2022.

Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi di sini oleh anggota polis menuju ke bilik tahanan sementara mahkamah.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Selain itu, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 1 Ogos 2022.

Semasa rayuan kes, tertuduh yang diwakili peguam lantikan mahkamah, Clarice Chan meminta diringankan hukuman kerana perlu menyara tiga orang anaknya yang tinggal bersama kakaknya selain dia mengalami masalah kesihatan kronik asma.

Selain itu, tertuduh mengaku terpaksa melakukan kerja berkenaan untuk menambahkan pendapatan keluarga.

Difahamkan, tertuduh menerima upah sebanyak RM800 untuk mengangkut migran terbabit.

Berdasarkan laporan Jabatan Imigresen Malaysia, dua orang daripada migran tersebut telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan didakwa di Mahkamah Sesyen Semuja.

Manakala, lima daripadanya telah dihantar pulang ke negara asal.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Md Syafique Md Hilmie.

Suara Sarawak