KUCHING: Jelajah Kerajaan Perpaduan-Kenduri Rakyat antara program yang bakal dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, sempena lawatan dua harinya ke Sarawak.

Program yang bakal berlangsung pada jam 2.00 petang esok, bertempat di Kompleks Kubah Ria dijangka akan dihadiri ratusan masyarakat tempatan yang tidak mahu melepaskan peluang beramah mesra dengan pemimpin nombor satu negara itu.

Ini merupakan lawatan sulung Anwar ke Bumi Kenyalang selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 pada 24 November 2022.

Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dengan pesawat rasmi sekitar jam 4.02 petang tadi. – Foto JAPEN

Lawatan kerja tersebut juga disifatkan langkah penting bagi menterjemah komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menyelesaikan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dengan pesawat rasmi sekitar jam 4.02 petang tadi.

Beliau disambut oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta barisan kepimpinan tertinggi negeri yang lain.

Abang Johari menyambut ketibaan Anwar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, petang tadi. – foto JAPEN

Sebaik sahaja tiba, Anwar mengadakan pertemuan tertutup bersama Abang Johari di kediaman Premier Sarawak itu, disusuli Majlis Jamuan Negeri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada sebelah malam.

Untuk hari kedua lawatan, Anwar akan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 di Bangunan DUN Sarawak pada sebelah pagi.

Mesyuarat penting untuk memuktamadkan beberapa tuntutan Sabah dan Sarawak di bawah MA63 itu akan turut disertai Abang Johari dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Selepas itu, Anwar akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek sebelum menghadiri Kenduri Rakyat sempena Program Jelajah Kerajaan Perpaduan di Kubah Ria di sini.

Beliau kemudian dijadual membuat kunjungan hormat ke atas Tun Abdul Taib Mahmud di kediaman Yang Dipertua Negeri Sarawak itu di Demak Jaya di sini sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur.

Suara Sarawak