KUCHING: Pasukan AS United dan Zerynz SC mengesahkan tiket untuk bersaing dalam kancah Liga S M4 yang akan bermula Mei kelak.

Kedua-dua pasukan terbabit menjadi pasukan awal yang layak selepas bertembung dalam aksi akhir saingan SLigue M5 yang berlangsung di Stadium Negeri pada 8 Januari lalu.

AS United membuktikan kemampuan sebenar selepas membelasah Zerynz SC dengan keputusan penuh (3-0) sekali gus memastikan skuad pilihan itu merangkul juara dan Zerynz SC di tangga yang kedua.

BERJAYA…barisan para pemain dan jurulatih pasukan Zerync SC dalam aksi final Saingan Liga M5 SLigue di Stadium Negeri.

Kedua-dua pasukan dibarisi bekas pemain pasukan Sarawak satu ketika dahulu seperti Zamri Morsidi, Hairul Moktar dan Sharol Saperi.

Dalam pada itu, pengurus Zerynz SC, Faizatulhasrin Abidin mengakui berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya sepanjang liga ini berlangsung.

Katanya, terdahulu pemain berjaya bangkit semula setelah kalah dalam tiga perlawanan awal liga sehingga menempah slot perlawanan akhir liga.

Sementara itu, penolong pengurus pasukan Jumani Hamdan berkata, pasukan ini memerlukan sumbangan dan suntikan dana untuk mengharungi M4 nanti.

“Jika ada individu atau syarikat yang ingin membantu serta memberi sumbangan dana bolehlah berhubung dengan Bendahari kelab saudara Norman Dillah di talian 013-8222939/016-8627225,” ujarnya.

Dalam pada itu, kedua-dua pasukan tersebut juga layak untuk beraksi dalam aksi Liga M4 Borneo nanti.

Difahamkan liga turut disertai oleh dua pasukan dari Bintulu dan dua pasukan dari Sabah.

Suara Sarawak