KUCHING: Perbincangan yang komprehensif perlu dilakukan antara Kerajaan Sarawak dengan Putrajaya untuk mendapatkan autonomi kesihatan, kerana ia adalah perkara yang kompleks.

Timbalan Premier Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, beberapa isu yang perlu dibincangkan dalam perkara itu termasuk peruntukan untuk operasi, peralatan dan tenaga kerja yang berkelayakan selain perkhidmatan dan kawal selia kesihatan.

“Proses pelaksanaan, proses kawal selia kesemua ini perlu dibincangkan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian ketika ditemui media ketika gabungan rumah terbuka Tahun Baharu Cina di Dewan Masyarakat, Jalan Padungan, di sini hari ini.

“Premier akan mempengerusikan mesyuarat dengan kesemua pemegang taruh yang lain dan akan membincangkan perkara ini secara mendalam,” katanya ketika ditemui pada gabungan rumah terbuka Tahun Baharu Cina di Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Jalan Padungan, di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, kesemua isu yang berkaitan perlu diselesaikan menerusi jawatankuasa tindakan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebelum menurunkan autonomi kesihatan kepada negeri ini.

Susulan mesyuarat bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, katanya, pelbagai perkara telah dibincangkan secara mendalam oleh jawatankuasa tersebut.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian ketika ditemui media ketika gabungan rumah terbuka Tahun Baharu Cina di Dewan Masyarakat, Jalan Padungan, di sini hari ini.

Beliau menekankan bahawa bukan sahaja mengambil alih autonomi kesihatan tetapi negeri ini memerlukan lebih ramai doktor, jururawat dan kakitangan kesihatan yang lain termasuk peruntukan dan peralatan.

“Ramai yang tidak menyedari (autonomi kesihatan) adalah sangat kompleks. Meskipun kita mahu selesaikan secepat yang mungkin, ia harus komprehensif juga,” katanya.

Suara Sarawak