Program Kecemerlangan Sejarah Bagi Murid-Murid Potensi Lulus (POLUS) Sijil Pendidikan Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abdul Razak di sini, hari ini. FOTO: Ramidi Subari

SERIAN: Penurunan kuasa autonomi berkaitan pendidikan kepada Sarawak harus selari dengan pemberian peruntukan dalam bidang tersebut di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan pembangunan Bakat (MEITD) Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, ini kerana sekiranya hanya memberikan penurunan kuasa sahaja tidak mencukupi dan perlu seiring dengan pemberian peruntukan.

“Kita tidak boleh memberikan pendidikan yang baik kepada pelajar tanpa peruntukan wang kerana jika memberi kuasa sahaja, ia tidak mencukupi.

“Disebabkan itu, perkara ini perlu dibincangkan dari segi peratusan pemberian yang sepatutnya diberikan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Ini adalah perkara yang perlu diberi keutamaan termasuk mengenai kuasa autonomi kesihatan,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai penurunan kuasa autonomi pendidikan kepada Sarawak.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kecemerlangan Sejarah Bagi Murid-Murid Potensi Lulus (POLUS) Sijil Pendidikan Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abdul Razak di sini, hari ini.

Mengulas lanjut,Adun Tarat terbabit menambah bahawa Sarawak mempunyai rancangan tertentu berkaitan beberapa mata pelajaran yang diberi keutamaan yang dapat memberi manfaat kepada pelajar.

Bagaimanapun pihaknya menekankan agar semua pelajar menguasai bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Ini kerana dunia sedang berubah, teknologi mengubah segala-galanya dan kita harus mengetahui dan menguasai perubahan serta ilmu pengetahuan tersebut,” katanya.

Roland Sagah berucap dalam program Kecemerlangan Sejarah di SMK Tun Abdul Razak di sini, hari ini. FOTO: Ramidi Subari

Suara Sarawak