Awas pautan lesapkan duit

KUCHING: Antara sebab utama mangsa kehilangan wang dalam akaun tanpa disedari kerana memuat turun atau menekan pautan yang mengandungi fail Kit Pakej Android atau Andriod Package Kit (APK).

Tindakan memuat turun aplikasi yang mengandungi fail APK yang diberikan sindiket penipuan kewangan itu kemudian menyebabkan peranti atau telefon bimbit mangsa dikawal sekali gus memudahkan sindiket mendapatkan data didalamnya termasuk maklumat perbankan Internet dan kata laluan sekali guna (OTP).

Menurut Ketua Pejabat Bank Negara Malaysia (BNM) Kuching Sarawak Mohd Irman Mohd Din, ia merupakan antara modus operandi terbaharu sindiket penipuan kewangan dengan cara menggodam telefon pintar mangsa.

“Terdapat pelbagai teknik dan modus operandi penggodam yang biasa berlaku di Sarawak seperti penipuan e-dagang, pinjaman tidak wujud, pelaburan tidak sah, Macau Scam dan banyak lagi.

“Dan yang terbaharu kes mangsa tidak menyedari duit dalam akaun mereka lesap dan telah diceroboh. Ia berlaku apabila mereka memuat turun atau menekan pautan yang diterima melalui platform media sosial.

“Apabila mereka menekan pautan tersebut, secara automatik fail APK turut dimuat turun bersama dengan aplikasi yang masuk ke dalam telefon bimbit mangsa.

“Dengan itu juga secara automatik telefon mangsa dikawal serta menjadi peranti scammer.

Segala maklumat di telefon mangsa termasuk OTP boleh dibaca terus oleh penggodam. Ini antara model terbaharu sindiket tersebut yang sangat kreatif dan bijak,” katanya kepada Suara Sarawak.

Jelasnya, antaranya sindiket menggunakan Facebook untuk mengiklankan penjualan barangan atau perkhidmatan saluran televisyen bertujuan menjerat mangsa.

“Mangsa berminat dengan tawaran tersebut akan menghubungi sindiket melalui WhatsApp dan kemudian diberikan pautan fail APK sebelum diarah memuat turun aplikasi itu di telefon pintar, mangsa akan diarahkan mendaftar maklumat sebelum diberikan akses menggunakan aplikasi tersebut,” ujarnya.

Lazimnya, setelah semua maklumat dimasukkan dan mangsa menekan butang hantar, namun paparan page error akan ditunjukkan kerana aplikasi itu tidak dipautkan kepada sistem perbankan tulen.

“Hakikatnya, pemasangan aplikasi dan proses pendaftaran yang dibuat semata-mata untuk mendapatkan akses terhadap kandungan SMS serta butiran perbankan yang kemudian akan digunakan untuk memindahkan wang daripada akaun mangsa,” katanya.

Tegasnya, sindiket tersebut kebiasaannya akan sedaya upaya untuk mencuba dan mencari pelbagai modus operandi baharu secanggih yang mungkin untuk menipu serta memperdaya pengguna setiap hari.

“Sindiket ini semakin hari semakin berevolusi, mereka semakin maju apatah lagi sekarang semakin ramai pengguna digital, ekonomi digital,” ujarnya.

Beliau mengingatkan pengguna kewangan untuk berfikir dan bertindak lebih maju daripada penggodam dengan lebih berhatihati, celik, cakna serta mengambil maklum mengenai perkembangan teknologi semasa.

“Sebagai langkah pencegahan, orang ramai perlu sentiasa berwaspada dan jangan memuat turun fail APK yang dihantar ke telefon pintar daripada individu yang tidak dikenali atau sumber tidak sah.

“Malah pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), BNM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga sering berkongsi pelbagai maklumat, program serta mengambil tindakan untuk memastikan pengguna tidak mudah terjerat dalam penipuan kewangan ini,” tegasnya.

Antara kes terbaharu yang berlaku di Sarawak ialah seorang wanita melaporkan kehilangan sejumlah RM44,074.47 dalam akaun tanpa disedari selepas cuba membuat pesanan bagi perkhidmatan pembersihan rumah. Wanita tersebut dilaporkan melayari Facebook dan terjumpa iklan mengemas rumah.

Mangsa dikatakan menghadapi beberapa masalah teknikal ketika cuba membuat pembayaran bagi perkhidmatan tersebut.

Mangsa kemudian mendapati terdapat lapan pemindahan wang berturut-turut dilakukan dalam akaunnya dengan semua transaksi tersebut dilakukan tanpa kebenaran, bahkan mangsa tidak menerima sebarang pemberitahuan daripada pihak bank termasuk OTP atau TAC.

 

Suara Sarawak