Marina: Datuk Henry Harry Jinep ketika berucap dalam Majlis Pembukaan Rasmi Kampung Budaya Bidayuh dan Ulang Tahun Redeems ke-25 di Dewan Datuk Peter Nansian, Kampung Apar, Bau, semalam. FOTO: Alif Noni

BAU: Kerajaan Sarawak bakal mengambil alih bangunan Marina yang dikendalikan Jabatan Laut Malaysia cawangan Kuching dengan membeli bangunan terbabit untuk dijadikan Ibu Pejabat Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSSS).

Timbalan Menteri Pengangkutan II (Sungai dan Laut), Datuk Henry Harry Jinep berkata, ia adalah salah satu inti pati yang dibincangkan semasa mengadakan kunjungan terhadap Menteri Pengangkutan Anthony Loke di Putrajaya, pada Rabu lalu (11 Januari).

“Sebelum ini, LSSS hanya menyewa bangunan dan inti pati perjumpaan berhasrat menjadikan Marina sebagai ibu pejabat lembaga ini selepas diambil alih nanti.

“Seperti yang dibincangkan bersama-sama beliau, mereka akan mempercepatkan proses tersebut. Penilaian telah dibuat dari segi kos yang harus Kerajaan Sarawak bayar untuk membeli tempat tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pertandingan Dayung Sikora sempena Majlis Pembukaan Rasmi Kampung Budaya Bidayuh dan Ulang Tahun Redeems ke-25 di Dewan Datuk Peter Nansian, Kampung Apar, Bau, semalam.

Mengulas mengenai kos yang bakal dibayar Kerajaan Wilayah, beliau menyuruh untuk tunggu pengumuman tersebut walaupun sudah ada harga yang ditetapkan oleh Jabatan Tanah dan Survei.

“Kita tunggu sahaja, pihak Kerajaan Persekutuan akan berunding dengan Kerajaan Wilayah berhubung jumlah kos yang patut dibayar sekiranya kita mengambil alih,” jelasnya.

Selain itu, Henry juga memberitahu bahawa inti pati keduanya memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk mengalih atau membuang bangkai-bangkai kapal yang tenggelam di perairan Sarawak bagi memberi kemudahan keselamatan kepada kapal-kapal lain.

“Manakala, inti pati ketiga menginginkan satu sistem untuk mengesan mana-mana kapal yang masuk ke kawasan perairan kita sepanjang 1,000 kilometer. Sistem ini telah ada cuma LSSS perlu melanggan dari pihak marin,” katanya.

Suara Sarawak