KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang melaksanakan usaha untuk membangunkan pertanian pintar di Lubok Punggor bagi meningkatkan penghasilan beras biris.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, untuk merealisasikan perkara tersebut Kerajaan Sarawak akan menghubungkan kawasan Hulu Simunjan dan Gedong melalui Jalan Gedong-Samaladong.

Menurutnya, kerja-kerja pembinaan akan dimulakan tahun ini dan akan mengambil masa 36 bulan untuk disiapkan sepenuhnya.

Abang Johari bercakap pada sidang media sempena lawatan kerja ke Daerah Gedong, hari ini. – Foto: UKAS

“Sudah tentu pembangunan infrastruktur ini akan memberikan kemudahan kepada kita untuk membangunkan kawasan Lubok Punggor sebagai kawasan pertanian moden yang menggunakan pertanian pintar.

“Ia penting untuk tujuan pengeluaran padi atau beras biris dari kawasan ini,” katanya pada sidang media sempena lawatan kerja ke Daerah Gedong, hari ini.

Tambahnya, pertanian pintar itu juga akan dilaksanakan oleh Universiti Pertanian Malaysia memandangkan setakat ini mereka telah mendapat kerjasama yang baik daripada para petani.

Sekitar rakaman lawatan Premier Sarawak sempena lawatan kerja ke Daerah Gedong, hari ini. Foto: UKAS

“Apa yang perlu sekarang adalah mengubah sedikit dari sudut penggunaan teknologi dalam menghasilkan padi atau beras biris di kawasan itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abang Johari memberitahu beliau telah mengarahkan universiti tersebut bukan sahaja untuk menggandakan pengeluaran padi dalam tempoh 18 bulan atau tiga kali tuaian bagi meningkatkan hasil padi tetapi juga meningkatkan nilai beras dari sudut hiliran.

“Kita boleh mengeluarkan tepung beras biris dan ini boleh digunakan untuk membuat biskut yang ada aroma wangi daripada beras tersebut.

Sekitar rakaman lawatan Premier Sarawak sempena lawatan kerja ke Daerah Gedong, hari ini. Foto: UKAS

“Ini adalah teknologi baharu, dan kita juga telah mengenal pasti makmal lapangan seluas kira-kita 30 ekar di Lubok Punggor,” jelasnya.

Abang Johari memberitahu, Kerajaan Sarawak juga bekerjasama dengan pemilik tanah dan kawasan tersebut akan menjadi makmal untuk universiti menjalankan penyelidikan beras biris.

“Sekiranya penyelidikan itu berjaya, kita akan meluaskan penggunaan pertanian pintar ini ke daerah lain termasuk Sri Aman supaya penanaman padi di kawasan tersebut juga akan menggunakan teknologi terkini,” tegasnya.

Suara Sarawak