Chukpai turun padang meninjau keadaan kebakaran di Uma Bakah, Sungai Asap Belaga.

BINTULU: Adun Murum Kennedy Chukpai Ugon menzahirkan rasa simpati kepada mangsa kebakaran Skim Penempatan Semula Uma Bakah, Sungai Asap, Belaga dengan membuat lawatan bagi berkongsi rasa simpati.

Beliau bersama-sama Pegawai Tadbir Sarawak di Pejabat Daerah Belaga, yang mewakili Pegawai Daerah Belaga selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Belaga (JPBDB) dan Setiausaha Politik Premier Sarawak Micheal Mujah Lihan turut menghulurkan bantuan awal sebanyak RM24,900 kepada keluarga mangsa kebakaran.

Menurutnya, bantuan tersebut merupakan usaha awal bagi membantu meringankan beban mangsa kebakaran yang melibatkan 19 orang pelajar sekolah rendah, 12 orang pelajar sekolah menengah dan tiga orang pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Terdahulu, beliau mengadakan mesyuarat bersama-sama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah bagi penyelarasan bantuan dan tindakan susulan pasca tragedi kebakaran tersebut dalam usaha membantu dan meringankan beban mangsa yang terkesan.

Dalam pada itu, Chukpai menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak khasnya masyarakat setempat dari sekitar Sungai Asap- Koyan atas sumbangan dalam membantu mangsa kebakaran.

“Kita juga berterima kasih atas keberanian dan kerjasama padu belia dan penduduk Apau Koyan bersama-sama Pasukan Bomba Sukarela Uma Daro yang datang membantu dan berjaya memadam kebakaran,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Adun Belaga, Datuk Liwan Lagang turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM8,000, masing- masing RM500 kepada mangsa kebakaran (16 pintu) di Blok F Uma Bakah.

Chukpai menyampaikan sumbangan kepada wakil mangsa kebakaran di Uma Bakah, Sungai Asap, Belaga.

Suara Sarawak