KUCHING: Bapa dua anak diperintahkan bon berkelakuan baik selama dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas kesalahan memiliki sebilah parang sepanjang 58 sentimeter di tempat awam tanpa tujuan yang sah.

Tertuduh Mohamad Basare Mohamad Salleh, 45, dari Kampung Tabuan Tengah mengaku bersalah di hadapan Hakim Mohd Taufik Mohd @ Mohd Yusoff sebaik sahaja satu pertuduhan di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958.

Mohd Taufik memerintahkan tertuduh bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan RM8,000 (tanpa deposit) beserta seorang penjamin.

Tertuduh (kanan) bersama-sama tertuduh lain berkaitan kes dadah dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membawa senjata terbabit di hadapan sebuah pasar raya terkemuka di Jalan Malihah kira-kira jam 8.30 malam, pada 15 Januari lalu.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Padawan melihat sekumpulan lelaki sedang berkumpul dalam keadaan mencurigakan.

Pengadu merupakan anggota polis berpangkat sarjan mendapati salah seorang lelaki tersebut membawa dan memegang senjata sebilah parang panjang.

Pengadu dan anggota polis yang lain datang kepada sekumpulan lelaki tersebut kemudian menerangkan kepada tertuduh bahawa senjata tajam di tempat awam adalah satu kesalahan.

Walau bagaimanapun, semasa tangkapan dilakukan, tertuduh mengalami kecederaan kerana bertindak agresif dan melawan anggota keselamatan.

Semasa rayuan kes, tertuduh menyatakan bahawa dia tiada niat mencederakan orang awam menggunakan senjata tersebut.

Selain itu, Basare merayu agar diringankan hukuman kerana dia merupakan tulang belakang keluarga selain perlu menyara dua orang anaknya yang masih kecil.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Danial Mohamad Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak