KUCHING: Sebanyak 225 buah kedai disediakan pada bazar Tahun Baru Cina di pasar Kenyalang Park bagi tahun 2023, kata Datuk Wee Hong Seng.

Datuk Bandar Kuching Selatan itu berkata, ia menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya yang hanya menyediakan 131 gerai jualan.

Menurutnya lagi, apabila lebih banyak tapak jualan disediakan, ia dapat memberi lebih banyak peluang kepada masyarakat untuk menjalankan perniagaan masing-masing.

Wee (tengah) bersama-sama yang lain ketika menyempurnakan pembukaan bazar Tahun Baru Cina di pasar Kenyalang Park.

“Menerusi platform ini, bukan peniaga di sini sahaja yang dapat manfaat, namun usahawan dari luar kawasan juga dapat mencari pendapatan sampingan di sini.

“Sekitar 89 buah kedai disediakan untuk pemilik kedai, manakala selebihnya untuk para peniaga lain-lain.

“Malah, jumlah yang disediakan kepada peniaga luar sebenarnya lebih banyak berbanding pemilik kedai yang ada di sekitar sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Pelancaran Bazar Tahun Baharu Cina 2023 di Tempat Letak Kereta Kenyalang Park, di sini, malam tadi.

Tambahnya, usaha mewujudkan tapak jualan seperti ini juga merupakan salah satu cara untuk membantu memulihkan ekonomi masyarakat selepas terjejas akibat pandemik Covid-19.

Suara Sarawak