BINTULU: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) mempelawa persatuan penjaja yang berkelayakan dan berminat untuk mengemukakan kertas kerja permohonan penganjuran bazar Ramadan di kawasan Bintulu.

Jurucakap BDA Mangga Nyuyang dalam satu kenyataan berkata, permohonan dibuka sehingga 30 Januari ini.

“Kertas kerja lengkap permohonan bazar Ramadan perlu sampai kepada BDA pada atau sebelum tarikh tutup.

“Permohonan hendaklah dikemukakan kepada Unit Pengurusan Pasar dan Penjaja di bilik 202 Pejabat Perbinda, Jalan Sultan Iskandar pada waktu pejabat,” ujarnya.

Menurut Mangga, pemohon perlu memberikan butiran dan melampirkan dokumen lain yang berkaitan dengan permohonan mereka.

Antara butiran yang diperlukan termasuk tarikh dan waktu operasi bazar, gambar terkini lokasi, pelan lantai, senarai nama vendor tempatan, kadar sewa dan senarai pekerja pembersihan.

Pemohon juga perlu mendapatkan cadangan dan surat kelulusan daripada kira-kira 70 peratus pemilik premis berdekatan termasuk daripada pihak polis dan Pejabat Kesihatan Bintulu.

Suara Sarawak