BINTULU: Seorang bekas guru didakwa di Mahkamah Bintulu, pada Khamis apabila menjadi suspek kes rogol melibatkan dua pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di daerah Sebauh.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan- Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta yang sama yang dijalankan secara aplikasi Zooming sekitar jam 2.45 petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Bartholomew Umpit berkata tertuduh, Tengku Nasrul Haizal Mohd Nasir, 34, direman lima hari di Penjara Pusat Koreksional Bintulu sementara sebutan semula kes tersebut pada 16 Januari ini.

Semasa sebutan semula yang dijadualkan pada jam 9 pagi di Mahkamah Bintulu pada Isnin ini, tertuduh akan didakwa di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol, Seksyen 14 (a) AKSTK 2017 dan Seksyen 15 (a) akta yang sama.

“Jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 14(a) AKSTK 2017, suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun manakala Seksyen 14(a) AKSTK 2017 memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan dikenakan sebat.

“Manakala, jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 15(a) AKSTK, membawa hukuman penjara tidak lebih sepuluh tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya,” ujarnya.

Sebelum ini, tertuduh dikehendaki polis kerana disyaki terbabit dalam kes rogol membabitkan dua pelajar perempuan Tingkatan Dua di sebuah sekolah menengah di Sebauh, lalu berjaya ditahan ketika bersembunyi di Thailand.

Pada Ogos lalu, dua pelajar yang menjadi mangsa rogol tampil membuat laporan polis mendakwa telah dirogol oleh tertuduh di bilik muzik, sekolah menengah di daerah Sebauh.

Suara Sarawak