KUCHING: Salah seorang ahli Lembaga Pengarah yang mewakili Kementerian Kewangan (MOF) perlu berundur dari Lembaga Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia bagi memberi ruang kepada pelantikan wakil dari Sarawak dalam LHDN.

“Sebaik sahaja Akta LHDN 1995 dibentang dan diluluskan di Parlimen, wakil kerajaan tersebut akan dilantik semula menjadi Lembaga Pengarah tersebut,” katanya.

Fadillah (kanan) turut ditemani Fazzrudin (kiri) ketika ditemu bual pemberita.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan kepada Komuniti Tiong Hua sempena Tahun Baharu Cina di Dewan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Jalan Sungai Tengah, di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, komposisi LHDN mempunyai tiga wakil kerajaan dan bukan kerajaan yang mempunyai kepakaran dalam bidang kewangan dan cukai.

“Kita sepatutnya membentangkan rang undang-undang untuk meminda Akta LHDN 1995 di Parlimen penggal ini.

“Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan untuk melantik Setiausaha Kewangan Sarawak (Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar) ke dalam Lembaga Pengarah LHDN semasa semasa mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) semalam,” jelasnya.

Justeru, salah seorang wakil kerajaan dalam LHDN perlu meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada wakil Sarawak dan akan dilantik semula selepas akta yang dibentangkan diluluskan di Parlimen.

Suara Sarawak