BESarawak bertukar memorandum dengan PCMA selepas memeterai satu Perjanjian Kerjasama di Ohio, Amerika Syarikat

KUCHING: Business Events Sarawak (BESarawak) telah mengorak langkah baharu dalam memeterai satu Perjanjian Kerjasama dengan Professional Convention Management Association (PCMA) di Ohio, Amerika Syarikat, 10 Januari lalu.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BESarawak iaitu Amelia Roziman dan Presiden and CEO PCMA Sherrif Karamat.

Majlis itu turut disaksikan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Jelas Karim, kerjasama BESarawak dengan PCMA sebagai rakan strategik akan membangunkan inisiatif Jurnal Antarabangsa Acara dan Legasi Perniagaan (IJBEL) di Amerika Utara dan di seluruh dunia.

“Bagi pihak Kerajaan Sarawak, kita mengalukan perkongsian strategik baharu antara BESarawak dengan PCMA yang dijangka membuka peluang baharu untuk bekerjasama dengan rangkaian luas golongan sasar dan ahli mereka.

“Ia juga akan meluaskan jangkauan jurnal dan menjadikannya platform yang mantap untuk kegunaan akademik dan praktikal,” tulisnya di laman Facebook rasminya, yang disiarkan hari ini.

Beliau menambah penerbitan IJBEL adalah hasil kerjasama dan kolaborasi antara BESarawak, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak dan Iccaworld.

Katanya, rakan strategik terkini IJBEL termasuk PCMA, Universiti Teknologi Mara, Sarawak dan Persatuan Penyelidik Sarawak (RSS).

Suara Sarawak