SARIKEI: Pengamal media memainkan peranan besar dan penting dalam membantu menyebarkan maklumat tepat kepada masyarakat.

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei Mahmudin Narudin berkata, hubungan erat antara kedua-dua pihak secara tidak langsung memudahkan bomba menyebarkan maklumat yang diperlukan.

Pada masa yang sama katanya, laporan yang disiarkan juga banyak membantu penugasan bomba sekali gus meningkatkan imej agensi berkenaan.

Mahmudin bersama pegawai dan anggota BBP Sarikei memotong kek sempena sambutan Hari Keluarga 2023, pada Sabtu.

“Saya tidak menafikan, rakan-rakan media banyak membantu menaikkan imej bomba menerusi laporan berita yang disiarkan.

“Banyak program yang kita laksanakan sebelum ini mendapat liputan meluas.

Ini membantu memudahkan orang ramai memahami peranan bomba dan mengeratkan lagi hubungan kita dengan masyarakat,” katanya pada Majlis Makan Malam sempena sambutan Hari Keluarga Balai Bomba Sarikei, malam tadi.

Program selama sehari itu diserikan dengan pelbagai acara menarik antaranya, sukaneka, persembahan hiburan, cabutan tiket bertuah dan lain-lain lagi.

Suara Sarawak