Pasukan bomba menenangkan seorang wanita selepas berjaya menyelamatkannya dalam satu kejadian di Sarikei.

SARIKEI: Kecekapan anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang wanita warga emas daripada cubaan membunuh diri di Jalan Meranti di sini, hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, sepasukan anggota balai dan penyelamat Sarikei bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 10.07 pagi.

“Setiba pihak bomba di lokasi, kita mendapati seorang wanita sedang berdiri di atas titi simen parit pada ketinggian lima meter yang dipercayai dalam cubaan hendak terjun.

“Pihak Bomba bertindak memujuk namun, wanita yang berusia 65 tahun itu tidak mengendahkannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun ujarnya, seorang anggota bomba bersedia di bawah titian itu berjaya mendapatkan tangan wanita dan kemudian membawanya naik ke atas.

“Kedalaman air parit ketika kejadian pada paras paha. Mangsa hanya mengalami kecederaan ringan luka pada bahagian tangan, dan diberi rawatan awal oleh unit EMRS sebelum dihantar ke hospital.

“Kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Suara Sarawak