Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUCHING: Pemberian bonus kepada kakitangan awam di semua negeri di Malaysia akan dikecualikan cukai, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya,  keputusan itu dibuat selepas pertimbangan bahawa bonus penjawat awam adalah tidak tinggi, maka adalah tidak wajar dikenakan cukai.

“Sekarang ini bonus yang diberikan kerajaan negeri adalah tertakluk kepada cukai.

Tetapi atas desakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari yang saya fikir munasabah, jadi bonus akan dikecualikan daripada dikenakan cukai,” katanya.

Beliau berkata demikian  pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di sini, semalam.

Tambahnya, usul tersebut sebenarnya terdahulu dicadangkan oleh Abang Johari untuk semua penjawat awam di Sarawak.

“Walaupun pada mulanya ia dicadangkan untuk Sarawak, namun saya umumkan bahawa ia kini terpakai untuk semua penjawat awam di seluruh negeri di Malaysia,” jelasnya.

Suara Sarawak