BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Maritim Bintulu telah menahan sebuah bot nelayan tempatan yang disyaki menangkap ikan di luar zon yang ditetapkan, semalam.

Difahamkan, nelayan terbabit telah menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan seperti yang ditetapkan di dalam buku lesen.

Pengarah Zon Maritim Bintulu Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, bot nelayan terbabit ditahan pada jarak lebih kurang sembilan batu nautika dari Kuala Tatau, Bintulu sekitar jam 10.30 pagi.

Enam nelayan warga Indonesia dan tempatan ditahan Maritim Malaysia Zon Bintulu.

“Penahanan bot itu dibuat berdasarkan kepada aduan orang awam iaitu terdapat vesel nelayan tempatan yang menceroboh kawasan pesisir pantai walaupun pada tahun sebelum ini, sudah banyak vesel nelayan tempatan kita telah tahan atas kesalahan yang sama,” katanya.

Hasil penahanan dan penggeledahan yang dibuat ke atas bot terbabit katanya, ia dikendalikan enam kru termasuk tekong.

Katanya, empat daripadanya merupakan warga Indonesia manakala dua lagi termasuk tekong adalah warga tempatan berumur lingkungan 23 hingga 52 tahun.

Bot nelayan tempatan ditahan Maritim Malaysia Zon Bintulu.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, empat orang kru warga Indonesia tersebut didapati menyalahgunakan pas atau permit daripada Jabatan Imigresen Malaysia.

Bot serta peralatan menangkap ikan, lebih kurang 100 kilogram ikan campur dan ikan baja yang dipercayai baru ditangkap kesemuanya dirampas dan diiring masuk ke  Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.

Ia disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana telah melanggar syarat sah lesen kerana melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan dan  boleh dikenakan kompaun daripada Jabatan Perikanan Malaysia.

Selain itu, Khairol berkata, kru warga asing yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki kerana memasuki Malaysia secara haram dan salah guna permit kerja seperti yang terdapat di dalam pasport.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Maritim Malaysia khususnya Zon Maritim Bintulu tidak akan berkompromi ke atas kesalahan yang sering dilakukan yang mana kesan ke atas kesalahan ini amat besar yang mana boleh mengakibatkan kerosakan kepada ekosistem pantai dan menjejaskan pendapatan nelayan-nelayan kecil.

Suara Sarawak