BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu menahan sebuah bot nelayan tempatan yang didapati menjalankan aktiviti menangkap ikan di zon larangan tanpa kebenaran, semalam.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, bot nelayan kelas C yang dikendalikan tujuh kru warga tempatan termasuk tekong itu ditahan bot pemintas Maritim Malaysia Zon Maritim Bintulu kira-kira jam 11.54 pagi pada jarak sembilan batu nautika dari Kuala Balingian.

Menurutnya, bot nelayan tersebut ditahan ketika sedang leka melakukan aktiviti penangkapan ikan secara menunda.

Bot nelayan tempatan kelas C yang ditahan Maritim Malaysia Zon Maritim Bintulu pada jarak lebih kurang sembilan batu nautika dari Kuala Balingian, pada Sabtu.

“Penahanan bot itu dibuat berdasarkan kepada aduan orang awam yang mana masih terdapat vesel nelayan tempatan yang menceroboh kawasan pesisir pantai walaupun pada dua hari lalu, Maritim Malaysia(Zon Bintulu) sudah menahan sebuah vesel nelayan tempatan atas kesalahan yang sama,” katanya.

Hasil penggeledahan, katanya bot tersebut dikendalikan oleh seorang tekong dan enam orang kru warga tempatan berumur dalam lingkungan 38 hingga 64 tahun.

Bot, peralatan menangkap ikan dan sekitar 200 kilogram ikan campur dan udang yang dipercayai baru ditangkap dengan anggaran keseluruhan bernilai RM500,000 kesemuanya dirampas dan diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.

Ia disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana telah melanggar syarat sah lesen kerana melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan dan  boleh dikenakan kompaun daripada Jabatan Perikanan Malaysia.

Suara Sarawak