Sebuah bot tunda ditahan pada jarak lebih kurang 3.32 batu nautika barat daya Kuala Baram ekoran gagal melaporkan kepada pegawai pelabuhan berkenaan pertukaran nakhoda petang semalam.

MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Miri menahan sebuah bot tunda disyaki gagal melaporkan kepada pegawai pelabuhan berkenaan pertukaran nakhoda petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Shafie Paing berkata, bot tunda itu ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika bersauh pada jarak lebih kurang 3.32 batu nautika barat daya Kuala Baram jam 5.40 petang semalam.

Menurutnya, bot tunda yang dikendalikan enam warga Indonesia dan seorang warga India berumur dalam lingkungan 23 hingga 38 tahun itu gagal mengemukakan dokumen pemakluman pertukaran nakhoda semasa pemeriksaan dilakukan.

“Bot berserta kru kemudiannya ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) untuk diserah kepada pegawai siasatan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, iaitu gagal melaporkan pertukaran nakhoda kepada pegawai pelabuhan. Jika didapati bersalah, boleh didenda tidak melebihi RM1,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tegasnya lagi, Maritim Malaysia sentiasa komited melaksanakan rondaan dan pemantauan bagi mencegah sebarang bentuk pelanggaran undang-undang, penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim di sepanjang perairan Malaysia, khasnya perairan Zon Maritim Miri.

Sebarang kecemasan atau aduan salah laku jenayah maritim di laut boleh segera hubungi talian Pusat Operasi Maritim Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-434055 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam setiap hari.

Suara Sarawak