KOTA SAMARAHAN: Atlet Bina badan Malaysia, Buda Anchah memberi bayangan bahawa Sukan SEA 2023 di Kemboja Mei ini bakal menjadi penyertaan terakhirnya sebelum bersara menjadi wakil negara.

Atlet veteran berusia 51 tahun itu memberitahu, dua lagi penyertaan terakhirnya adalah Mr Asia di Kathmandu Nepal (1-7 September) dan Mr World di Korea Selatan (31 Oktober- 6 November) kelak.

Sekali gus mengakui ketiga-tiga acara antarabangsa itu menjadi penutup tirai serta aksi terakhir beliau sebelum bersara dalam sukan bina badan menjelang tahun 2024.

KENANGAN….Buda (tiga kanan) disambut meriah oleh penyokong sebaik tiba dari 45th Asian Bodybuilding and Physical Sport Championship, Maldives di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) suatu ketika dahulu.

“Sukan SEA ini mungkin penglibatan terakhir jadi saya akan buat persediaan yang lebih baik lagi untuk mendapatkan pingat … semestinya saya menyasarkan pingat emas sebelum bersara dari sukan ini.

“Kalau ikutkan tahun lepas (2022) saya nak bersara tetapi Majlis Sukan Negara (MSN) dan persatuan Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) masih mahukan khidmat saya kerana pelapis-pelapis kita masih belum konsisten.

“Saya kini sudah berusia, sekarang dah 51 tahun, dan saya mahu berehat,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.

Untuk rekod, Buda antara atlet bina badan Malaysia yang telah berkecimpung dalam sukan terbabit hampir 30 tahun dengan pelbagai pencapaian dan sumbangan diberikan sepanjang mewakili negara serta negeri dalam sukan bina badan.

Suara Sarawak