KUCHING: Seorang lelaki tempatan dihadap ke Mahkamah Majistret Bau hari ini, atas pertuduhan membunuh kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) berusia enam tahun dengan menyumbatkan mayat mangsa ke dalam guni sebelum dibuang ke dalam semak.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Then Chiew Yern, 35, selepas satu pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Seksyen terbabit membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh mangsa di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Keranji, Siniawan, kira-kira jam 7 malam, 20 November 2022.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 30 Mac depan sementara menunggu laporan bedah siasat, kimia dan perubatan tersedia.

Selain itu, tertuduh tidak ditawarkan sebarang jaminan dan reman dilanjutkan sehingga tarikh sebutan semula kes.

Berdasarkan laporan media terdahulu, Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Poge Nyaon menyatakan bahawa tertuduh telah memukul mangsa hingga mati sebelum dicampakkan ke semak.

Kejadian terbabit dipercayai berlaku kira-kira lima hari sebelum ibu mangsa berusia 34 tahun membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya.

Tertuduh akhirnya berjaya ditangkap oleh pihak polis di sebuah kedai menjual komponen kenderaan di Jalan Laksamana Cheng Ho pada 4 Januari lalu.

Pada hari yang sama, sekitar jam 6.45 petang, pihak polis telah dibawa oleh tertuduh sendiri menuju ke lokasi mayat kanak-kanak itu dibuang.

Terdahulu, ibu mangsa turut ditangkap untuk siasatan lanjut sebelum menjadi saksi pendakwaan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Sarawak Shahrizat Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak