SEDIA… Matthew bersama-sama ahli jawatankuasa penganjur Kejohanan Catur Antarabangsa Inggeris OKU Malaysia Lions negeri Sarawak Edisi ke-3

KUCHING: Kejohanan Catur Antarabangsa Inggeris Orang Kelainan Upaya (OKU) Malaysia Lions negeri Sarawak Edisi ke-3 bakal diadakan di pusat beli-belah Vivacity Megamall pada 29 Januari ini.

Pertandingan menyaksikan kelainan selepas pihak penganjur di bawah district 308 A2 Region 1 Lions Clubs mengambil keputusan untuk mengadakan kategori terbuka kepada semua peserta OKU berdaftar.

Pengerusi penganjur merangkap Presiden Lion Club Bandar Kuching Matthew Pham menegaskan, usaha terbabit bagi memberi peluang kepada para peserta untuk saling mengenali antara satu sama lain dan bersaing dengan pencabar baharu yang berlainan kategori secara sihat.

“Setakat ini, kita mempunyai 24 peserta terdiri melibatkan enam individu OKU penglihatan, lima dari segi fizikal, dan 13 mengalami masalah pendengaran.

“Kejohanan terbuka kepada individu OKU berdaftar dan semestinya terbuka untuk penyertaan mana-mana peserta bagi menaikkan semangat kesukanan mereka dalam sukan catur,” katanya dalam sidang media berkaitan kejohanan di bangunan Lions Nursing Home Kuching hari ini.

Katanya, di samping memberi peluang interaksi dan komunikasi antara komuniti OKU di Sarawak, ia juga bagi memupuk semangat kesedaran awam tentang keupayaan peserta OKU dalam perlawanan catur.

Mengulas mengenai perlawanan, Ketua Teknikal Kejohanan Abang Mohammad Reduan Abang Sahari memberitahu tidak menjadi masalah untuk menghadapi kategori terbuka memandangkan pihaknya sebelum ini pernah mengendalikan perkara sama.

Jelasnya, syarat pertandingan bertaraf antarabangsa masih diguna pakai selain 30 minit masing-masing diberikan kepada pemain untuk menamatkan saingan.

BERCAKAP… Matthew (Kanan) bercakap pada sidang media di Lion Nursing Home Stutong berhubung Kejohanan Catur Antarabangsa Inggeris OKU Malaysia Lions negeri Sarawak Edisi ke-3

Suara Sarawak