SARIKEI: Empat individu berdepan detik cemas apabila kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah lori lima tan di Jalan Bulat, di sini, semalam.

Insiden kira-kira jam 1.00 petang itu mengakibatkan pemandu Hilux tersepit di dalam kenderaan itu.

Dalam kemalangan tersebut, dipercayai kenderaan pacuan empat roda itu menghala ke Sibu manakala lori menuju ke Sarikei.

SELAMAT… Mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.

Menurut Ketua Balai dan Penyelamat Sarikei Mahmudin Narudin, pemandu Hilux masih tersepit antara kerusi dan papan pemuka kereta tersebut.

“Pasukan bomba mengeluarkan mangsa dengan membuka pintu dan merenggangkan tempat duduk untuk menarik keluar mangsa.

“Mangsa selamat dikeluarkan melalui pintu penumpang belakang dengan selamat,” katanya dalam satu kenyataan.

REMUK… Keadaan kereta yang dipandu oleh mangsa.

Tambahnya, mangsa turut memaklumkan terdapat tiga orang penumpang dalam kereta yang dipandunya.

“Kesemua mangsa termasuk pemandu lori tidak mengalami kecederaan,”katanya lagi.

Suara Sarawak