Gambar hiasan

KES penderaan kanak-kanak di negara ini terus menjadi ‘barah’ walaupun pelbagai usaha dilakukan bagi meningkatkan kesedaran orang awam dalam membendung penularan perbuatan kejam itu.

Malah, statistik menunjukkan sebanyak 1,055 kes penderaan kanak-kanak direkodkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara dalam tempoh enam bulan pertama tahun lalu bermula Januari hingga Jun.

Daripada jumlah itu, sebanyak 578 kes membabitkan penderaan fizikal, 417 kes penderaan seksual dan 60 kes adalah penderaan emosi manakala mangsa pula ialah kanak-kanak perempuan sebanyak 706 kes dan 349 kes kanak-kanak lelaki.

Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 1,348 kes kesalahan seksual kanak-kanak direkodkan dalam tempoh yang sama, termasuk kes rogol berkumpulan, sumbang mahram, seks luar tabii dan cabul.

Kematian seorang kanakkanak lelaki dipercayai akibat didera di Felda Semenchu Teluk Sengat Kota Tinggi, antara 10 hingga 23 Disember tahun lalu, cukup meruntun hati semua pihak.

Hampir seluruh badan mangsa, dari kepala sampai ke kaki terdapat kecederaan.

Kesan-kesan cedera ini mungkin dipukul dan terdapat juga kesan dicucuh api atau benda panas di seluruh badan termasuk kemaluan mangsa.

Kes seperti ini masih berlarutan dan entah di mana silapnya namun, hasil beberapa kajian mendapati penderaan kanak-kanak adalah berpunca daripada pelbagai faktor antaranya, masalah kewangan, perbalahan keluarga, masalah penyalahgunaan dadah, penyakit jiwa atau mungkin pendera mungkin suatu ketika dahulu, pernah didera.

Apa-apa pun penyebabnya, semua pihak perlu mengambil pendekatan lebih serius dalam menangani isu moral yang tidak berperikemanusiaan ini.

Sehubungan itu, tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas perlu diambil agar kanak-kanak dapat dilindungi daripada terus menjadi mangsa apatah lagi, mereka sebahagian daripada masyarakat yang amat penting, yang menjadi aset negara dan penyambung nadi pembangunan negara pada masa hadapan.

Kepentingan golongan kanak-kanak jelas dibuktikan melalui tumpuan terhadap institusi keluarga dan kanak-kanak dalam usaha mencapai status negara maju di samping melahirkan masyarakat yang saksama dan penyayang.

Perlu juga disedari kesan penderaan sangat besar dari segi emosi dan fizikal bagi seseorang kanak-kanak.

Trauma yang dihadapi oleh kanakkanak akan menyebabkan mereka sukar untuk menjalani kehidupan normal ketika meniti alam remaja dan dewasa.

Justeru, cadangan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk menilai semula dasar semasa membabitkan kanak-kanak dan melakukan penambahbaikan menyeluruh perlu disambut baik oleh semua pihak.

Usaha itu bukan sekadar merangkumi aspek perlindungan tetapi juga pemantauan serta pembangunan sosial kanak-kanak secara lebih menyeluruh.

Oleh kerana itu, adalah sesuatu yang amat wajar sekiranya agensi yang berkaitan meneroka segala kemungkinan untuk memperkemas faktor pencegahan.

Pada masa yang sama, keperluan hukuman yang lebih tegas dan berat kepada pesalah wajar dilaksanakan dengan segera supaya kes penderaan tidak berulang dan terus berulang selain sebagai pengajaran kepada ibu bapa atau penjaga yang cuai.

Suara Sarawak