ANGGOTA polis berada di pos kawalan di pengkalan feri tersebut.

SIBU: Dua individu dikhuatiri lemas manakala seorang lagi selamat setelah kereta yang dinaiki mereka terjatuh ke dalam sungai di Feri Tanjung Kunyit, Sungai Maaw di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 7.11 pagi.

“Hasil maklumat yang diterima terdapat dua orang mangsa lelaki dan seorang wanita berada di dalam sebuah kereta Toyota Camry.

“Seorang mangsa lelaki berjaya keluar dengan selamat dan telah dihantar ke hospital oleh orang awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pasukan seterusnya melakukan pencarian selepas mendengar taklimat daripada pihak polis dengan menaiki sebuah bot dengan kekuatan tiga anggota dan dibantu sebuah bot daripada polis marin seramai empat anggota.

“Pencarian dilakukan dengan kaedah di atas air. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di tempat kejadian masih lagi dijalankan,” kata beliau.

Mangsa yang selamat dikenali sebagai Brayant Magnus Ting, 38, sementara yang masih hilang ialah Philip Yiin Chung Leong, 61, dan seorang lagi wanita masih belum dikenali identitinya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili mengesahkan kejadian dan menerima laporan tersebut.

“Punca sebenar kejadian masih belum diketahui dan siasatan masih lagi berjalan dengan anggota kita masih berada di lokasi.

“Segala perkembangan lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa dan saya masih menunggu laporan mengenainya,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

LOKASI kereta yang dinaiki mangsa dipercayai terjatuh ke sungai dari pengkalan Feri Tanjung Kunyit.

Suara Sarawak