ASAJAYA: Dua lelaki maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan sebuah motosikal di Jalan Terasi, Kampung Terasi Iban, di sini, hari ini.

Kemalangan maut itu membabitkan seorang penunggang motosikal berumur 47 tahun dan pemandu lori berumur 35 tahun, sementara kelindannya lelaki berumur 34 mengalami cedera ringan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 8.55 pagi.

Anggota bomba mengeluarkan pemandu lori yang tersepit.

Susulan itu, katanya lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya bersama jentera dan pacuan empat roda telah digerakkan ke lokasi kejadian.

“Pemandu lori yang tersepit di bahagian pemandu berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dengan menggunakan peralatan penyelamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan manakala rakannya mengalami cedera ringan berjaya keluar dengan selamat.

Sementara katanya, penunggang motosikal turut maut di tempat kejadian.

“Kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Suara Sarawak