TAHAN…Suspek pertama dan kedua

KUCHING: Dua lelaki masing-masing berusia 37 dan 34 tahun dipercayai pengedar dadah dicekup miliki dadah dianggarkan bernilai RM3,081 di gelanggang bola keranjang Stadium Taman Mewah, Jalan Arang kira-kira jam 5.30 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kedua-dua suspek ditahan hasil serbuan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik (BJSND).

“Hasil pemeriksaan suspek pertama menjumpai satu paket plastik lut sinar berisi ketulan kecil disyaki dadah syabu seberat 0.6 gram.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan menjumpai dadah syabu seberat 5.16 gram dan sepaket plastik lut sinar berisi ketulan mampat dedaun kering disyaki dadah ganja dianggarkan seberat 50.1 gram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil siasatan katanya, kedua-dua suspek mengaku terlibat dengan pengedaran dadah sejak awal tahun lalu (2022).

Zainal menambah, kedua-dua suspek yang turut mempunyai rekod lampau tangkapan berkaitan dadah turut didapati positif dadah hasil ujian saringan air kencing.

Jelasnya, kedua-dua suspek kini ditahan di lokap balai polis Siburan dan untuk dipohon reman.

Kes setakat ini disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(1) ADB 1952, dan Seksyen 12(2) ADB 1952.

Suara Sarawak