MATU: Kerajaan Sarawak bakal melaksanakan dua lagi projek baharu untuk manfaat masyarakat Cina di daerah ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya berkata, projek berkenaan ialah naik taraf sistem peparitan di kawasan pasar lama Matu dan pembinaan pintu gerbang baharu di jambatan yang merentangi Sungai Matu.

“Usaha itu diyakini memberi manfaat kepada penduduk kampung, apatah lagi pekan lama Matu yang mempunyai kaitan dengan sungai.

Datuk Dr Juanda Jaya menyampaikan sumbangan MRP kepada JKKK Pasar Lama dan Pasar Lama Matu sempena kunjungan Tahun Baharu Cina di Matu, pada Isnin.

“Justeru, sistem pengairan air sangat penting khususnya ketika air pasang dan musim tengkujuh,” katanya pada Majlis Ziarah Tahun Baharu Cina (TBC) di sini, semalam.

Sementara, pembinaan pintu gerbang baharu di atas jambatan katanya, bukan sahaja mencantikkan lagi kawasan itu tetapi juga bakal menjadi tarikan baharu kepada pengunjung.

“Pelaksanaan projek ini juga membuktikan komitmen berterusan kerajaan bagi memastikan masyarakat Cina di Matu tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

“Malah, keperluan mereka juga sentiasa di pantau dari masa ke semasa,” ujarnya.

Juanda yang juga Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak Integriti Dan Ombudsman menegaskan, kerajaan tidak pernah meminggirkan kepentingan masyarakat Cina Matu, walaupun mereka kaum minoriti di daerah itu.

Ujarnya, meskipun jumlah masyarakat itu hanya sekitar dua peratus sahaja namun, kerajaan tetap membawa pembangunan untuk mereka.

“Pada masa yang sama, kerajaan juga memberi jaminan untuk terus menumpukan kepada usaha memperkasa komuniti ini khususnya di luar bandar,”katanya lagi.

Suara Sarawak