Pihak bomba dibantu Renjer SFC dan pihak polis bersama mangsa turun pada jam 6 pagi.

LUNDU: Dua wanita terkandas ketika mendaki Taman Negara Gunung Gading, di sini semalam telah diselamatkan oleh pasukan bomba hari ini.

Kedua-dua mangsa yang terkandas masing-masing berumur 57 dan 53 tahun.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu menerima panggilan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu berhubung insiden lalu mengerakkan 11 anggota ke lokasi.

“Mangsa dijumpai pada jam 2.21 pagi oleh pasukan penyelamat berdekatan Batu Berkubu (KM6.4) dalam keadaan kesejukkan dan keletihan.

“Pihak bomba telah memberi minuman serta selimut yang dibawa sekali semasa Ops SAR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, untuk tujuan keselamatan, mangsa akan dibawa turun pada awal pagi Isnin memandangkan laluan untuk turun dalam keadaan gelap dan licin.

Katanya, operasi bersambung semula pada jam 6 pagi dengan dibantu unit Renjer SFC dan pihak polis bersama mangsa bergerak menggunakan trek tanah.

Kedua-dua mangsa diberikan selimut dan minuman oleh pihak bomba yang menjumpai mangsa pada jam 2.21 pagi di Batu Berkubu.

Suara Sarawak