SIK BERASA. Ketek ajak, sudah berada pada tahun baharu kita hari ini, dengan 365 hari pada tahun 2022 kita tinggalkan dengan kisah suka dan duka.

Setahun bagaikan sebulan, sebulan pula bagaikan seminggu, seminggu dirasakan bagaikan sehari.

Dan, sehari pula dianggap begitu sekejap.

Tidak berasa hari dah malam.

Betapa terasa pendek masa sekarang, walaupun jumlah minit, jam, hari, minggu dan bulan untuk setahun tetap sama.

Tetap tidak akan pernah berubah.

Dalam kependekan masa terasa, macam-macam kenangan ditempa sepanjang tahun lepas, dan pelbagai kisah menarik untuk dijadikan panduan pada tahun ini — 2023.

Selamat Tahun Baharu 2023!

Apa azam anda untuk tahun ini?

Macam-macam?

Banyak?

Adakah azam ini mampu anda capai?

Dan, sudah ada azam tahun lepas tercapai?

Atau azam sekadar azam?

Walau apa-apa pun azam, dan sebanyak mana pun azam tahun baharu ini, ia harus diseimbangkan dengan keadaan jangkaan keadaan ekonomi tahun ini!

Bukan saya seorang, ada banyak lagi individu yang khuatir dengan situasi tahun 2023 yang sukar untuk dijangkakan.

Banyak pihak, terutama pakar atau penganalisis ekonomi menjangkakan ekonomi tahun ini akan merudum.

Menakutkan?

Bagi saya, ia benar-benar menakutkan.

Merudum ekonomi dunia, bermakna akan memberikan kesan pada ekonomi negara.

Dan, jika negara sudah terkesan, bermakna lebih 30 juta jiwa di negara ini pasti juga akan terkesan.

Seorang rakan memaklumkan, “Gine jak tahun baru tok kelak?

Takut juak dengar orang madah ekonomi kita akan teruk.

Mun dah cam ya, nait juak harga barang kelak!”

Rakan yang seorang lagi berusia 50-an menyambung,

“Dah la sesi sekolah dibuka bulan tiga.

Sik lamak lepas ya, kita raya. Gine nak berbagi duit meli barang sekolah dengan raya?”

Soalan daripada kedua-dua rakan ini memang mengesankan.

Air teh suam yang dihirup seolaholah terasa panas.

Tersedak seketika. Sepanjang tahun 2021 dan 2022, ini mungkin tidak menjadi masalah kepada kebanyakan orang.

Selain Bantuan Khas Malaysia (BKM) di peringkat Persekutuan dan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) peringkat negeri Sarawak, pekerja swasta dibenarkan mengeluarkan wang caruman KWSP.

Duit ini banyak membantu dalam perbelanjaan keluarga.

Ada yang mampu berjimat hingga wang itu masih ada berbaki di dalam akaun bank masing-masing.

Sekurang-kurangnya masih mampu menyediakan makanan di atas meja makan untuk anak-anak.

Bagaimana pula dengan 2023? Bantuan memang ada tetapi bukan semua menerimanya.

Syukur ada bantuan kewangan persekolahan RM150 seorang pelajar tanpa mengira pendapatan ibu bapa.

Bagi keluarga mempunyai lima anak bersekolah, jumlah RM750 itu pasti melegakan.

Anak-anak dapat berbaju, seluar, kasut serta beg baharu. Jika pakaian tahun lepas masih elok, duit itu dapat digunakan pula untuk membayar yuran persekolahan.

Jadi, ia amat membantu mengurangkan sekurang-kurangnya sedikit beban ibu bapa.

Aspirasi 2023 Aspirasi bermaksud keinginan yang kuat untuk mencapai, mengadakan sesuatu.

Maksudnya sama dengan azam.

Semua orang mempunyai aspirasi tersendiri untuk sepanjang 365 hari pada tahun ini.

Tetapi, secara keseluruhan semua mahu ekonomi negara kekal segar dan menghijau demi survival hidup rakyat yang terpikul di bahu Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada Disember tahun lepas.

Atas sebab itu, Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan atas titah cadangan Yang diPertuan Agong perlu bekerja keras membuktikan apa-apa yang disebut sebagai janji pada Pilihan Raya Umum ke-15 terutama dalam meningkatkan ekonomi negara benar-benar ditepati.

Ini kerana rakyat sudah banyak terkesan, lebih-lebih dalam aspek bayaran bulanan rumah.

Kadar pinjaman bank serta ansuran bulanan turut bertambah berikutan Kadar Dasar Semalaman (OPR) meningkat empat kali tahun lepas. Bagaimana dengan 2023? Adakah akan ada kenaikan lagi?

Jika ada, maka semakin ramai ketua isi rumah perlu ikat perut kerana kenaikan ini menyebabkan kos sara hidup rakyat meningkat.

Rakyat tiada pilihan selain terus membayar walaupun kenaikan agak tinggi.

Sebab, jika tidak dibayar, rumah amat diperlukan. Jika rumah ditarik balik olek bank, di mana pula hendak melindungi keluarga daripada panas dan hujan?

Apa-apa pun, setiap seorang rakyat mahukan kerajaan yang stabil.

Sejauh mana kestabilan Kerajaan Perpaduan, ia bergantung kepada gabungan parti utama yang membentuk kerajaan tersebut untuk tempoh lima tahun lagi.

Sehubungan itu, politik merampas ahli parlimen, desakan bubar parlimen dan desakan keluar gabungan perlu diketepikan demi survival hidup rakyat.

Ini kerana rakyat sudah muak dengan politik jatuh-menjatuh.

Jadikan tahun 2023 sebagai tahun permulaan untuk fokus sepenuhnya masalah rakyat.

Bukan rakyat B40 sahaja, tetapi semua kategori kerana setiap isi rumah pasti mempunyai masalah tersendiri.

Ia mungkin sedikit berbeza tetapi sama dari segi kewangan.

Covid-19 Rakyat sekarang tersenyum kerana tidak perlu lagi memakai pelitup muka, dan bebas bergerak ke sana ke sini. Namun, situasi Covid-19 di China agak merisaukan.

Kes meningkat mendadak. Ini menyebabkan banyak pihak mahukan pengembara atau sesiapa sahaja datang dari China diwajibkan menjalani ujian Covid-19 sebelum dan setelah memasuki Malaysia.

Pada masa sama, perlu melalui proses kuarantin.

Tujuannya untuk memastikan tiada lagi krisis kesihatan di Malaysia.

Namun demikian, ia juga memerlukan setiap rakyat menjaga kesihatan diri dan orang sekeliling.

Jadi, saya melihat aspirasi 2023 dalam aspek ekonomi, kestabilan kerajaan dan kesihatan rakyat.

Jika ketiga-tiga aspek ini diutamakan, insya-Allah, dapat membantu rakyat yang begitu terkesan, kerana kita tidak mahu semakin ramai rakyat hidup susah.

Selamat Tahun Baharu 2023!

Suara Sarawak