Gambar hiasan

KUCHING: Gara-gara mengedar dadah sekitar 5.6 kilogram ganja awal Januari lalu, seorang anggota polis berpangkat rendah didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Aizat Danial Noor Azman, 30, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan ali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki dadah tersebut di Balai Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), kira-kira jam 10.10 malam, 2 Januari lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau dipenjarakan seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 15 kali.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 8 Februari depan bagi menunggu laporan kimia yang masih belum tersedia.

Tertuduh kemudian dilanjutkan reman di Penjara Puncak Borneo sementara menunggu sebutan semula kes.

Difahamkan, semasa kejadian, tertuduh dilaporkan menaiki pesawat dari Kuala Lumpur.

Dia membawa sebuah bagasi dan beg galas ditahan oleh Pegawai Kastam Cawangan Khas Pemeriksaan Penumpang LTAK selepas melalui pemeriksaan mesin pengimbas.

Hasil pemeriksaan mendapati dia membawa 20 botol cecair yang merupakan campuran jus dan dadah Kanabis.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) James Ho manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak