KUCHING: Kalendar Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) dilihat sibuk sepanjang tahun ini berikutan perancangan badan induk berkenaan akan menganjurkan empat kejohanan besar.

Presiden SABA, Datuk Rahman Lariwoo memberitahu, ia termasuk satu kejohanan berstatus antarabangsa.

Menurutnya, tumpuan awal fokus kepada penganjuran Kejohanan Tinju Piala Belia 2023 yang dijadual berlangsung dari 21 hingga 26 Mac nanti bertempat di Stadium Tertutup MBKS, Taman Rekreasi Pending.

“Kebiasaanya kejohanan ini dilangsungkan di negeri-negeri di Semenanjung, namun saya telah memohon untuk menganjurkannya di Kuching pada tahun ini.

“Jadi ia pertama kali dianjurkan di Sarawak dan akan menjadi platform untuk mencungkil bakat baharu dalam kalangan remaja,” ujar beliau kepada Arena Suara Sarawak.

Beliau melihat penganjuran kejohanan itu juga merupakan platform untuk persiapan membentuk skuad bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024.

Tegas Rahman, pihaknya juga akan menganjurkan Kejohanan Tinju Terbuka Bintulu 2023 yang akan berlangsung dari 22 hingga 28 Mei nanti di Dewan Tertutup Bintulu.

“Ia disusuli dengan Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak 2023 yang akan berlangsung di Dewan Tertutup Sri Aman bermula dari 24 hingga 30 Ogos,” tambah beliau.

Sambil menyatakan, kemuncak kepada aktiviti SABA tahun ini adalah penganjuran Kejohanan Tinju Terbuka Antarabangsa Sarawak, Piala Premier Sarawak 2023 dari 11 hingga 17 September nanti.

“Ini merupakan acara antarabangsa pertama SABA dan pihak kita akan menjemput petinju dari negara luar untuk turut serta.

“Kita masih meneliti gelanggang yang akan digunakan. Akan tetapi cadangan awal di Stadium Perpaduan Petra Jaya,” jelas Rahman lagi.

Suara Sarawak