Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Gerald Rentap Jabu

KUCHING: Kenaikan jumlah geran khas untuk Sarawak kepada RM300 juta berbanding RM16 juta sebelum ini mampu membangunkan negeri ke arah yang lebih baik.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, ia sekali gus membantu mengembalikan hak Sarawak.

“Geran ini dapat berfungsi sebagai suntikan dana bagi tujuan membangunkan negeri kita dalam semangat Malaysia Madani.

“Selain, ia dapat menunjukan bagaimana Kerajaan Perpaduan melihat Sarawak sebagai wilayah yang membentuk Malaysia, setaraf dengan pembangunan di negeri lain,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, semalam.

Menurutnya lagi, peningkatan hampir 19 kali ganda yang diberikan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan ini menunjukkan kepercayaan perdana menteri terhadap Sarawak.

“Terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberi kepercayaan kepada permohonan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Begitu juga dari segi tuntutan dan permintaan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mengutamakan hasrat daulat yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Terdahulu, geran khas untuk Sarawak dinaikkan kepada RM300 juta sebagai pemberian peringkat awal sebelum satu formula khusus dimuktamadkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Sarawak.

Manakala, Sabah menerima peningkatan jumlah dari RM26 juta ke RM260 juta.

Suara Sarawak