KUCHING: Golongan kurang bernasib baik di sekitar Kuching tidak terkecuali apabila turut dirai bersempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC), hari ini.

Program anjuran Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWPK) tersebut dianjurkan dengan kolaberasi agensi berkaitan.

Menterinya, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, antara agensi terlibat adalah Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Persatuan Miskin Bandar (SKUP) dan Persatuan Bring It On Kuching.

RAKAM KENANGAN… Fatimah (tiga kanan) dan Wee Hong Seng (empat kanan) merakam kenangan bersama-sama penerima angpau.

“Masyarakat Cina biasanya akan mengadakan makan malam perjumpaan keluarga pada malam TBC.

“Tetapi, ada yang mungkin tidak berpeluang berbuat demikian, mengikut keadaan mereka—tinggal jauh dari keluarga dan lain-lain.

“Oleh itu, kami menganjurkan program ini kerana sedar ada dalam kalangan masyarakat tidak mempunyai kemampuan untuk menganjurkan majlis makan malam perjumpaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) di Pusat Sokongan Sosial Komuniti (CSSC) Kuching hari ini.

Menurut Fatimah, sambutan itu adalah sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk kumpulan terpilih di Kuching dan ditaja oleh individu persendirian.

“Golongan yang memerlukan dan kurang bernasib baik yang hadir semasa program turut menerima angpau,” katanya.

Tambah Fatimah, sebahagian daripada sumbangan telah disalurkan kepada SKUP serta Persatuan Bring It On Kuching untuk terus menyokong golongan memerlukan di kawasan Kuching.

“SKUP merupakan salah satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berusaha untuk menyediakan makanan kepada golongan miskin bandar sekurang-kurangnya sekali sehari,” ujarnya.

Untuk rekod, golongan miskin bandar, penduduk rumah pangsa KMC, dan penduduk rumah Sri Kenangan adalah antara kumpulan yang diberikan perhatian dalam program tersebut.

Turut hadir Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng.

Suara Sarawak