GPS sebahagian Kerajaan Perpaduan, bukan PH
FADILLAH (berdiri, tiga kiri) bergambar dengan hadirin.

SIBU: Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof menjelaskan kepada rakyat di sini bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

Menurut beliau, ini adalah termasuk kerajaan negeri parti pembangkang yang kekal di blok pembangkang.

“Kita bukanlah kerajaan Pakatan Harapan (PH) seperti persepsi sesetengah pihak yang mengatakan GPS adalah sebahagian daripada PH.

“Bukan…kami adalah Kerajaan Perpaduan. Perlu ada penerangan yang jelas mengenainya agar rakyat faham,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Pemimpin GPS Sibu di Dewan MUC pada malam tadi.

Menteri Perladangan dan Komoditi itu mendakwa wujud persepsi yang salah mengenai perkara tersebut yang harus diperbetulkan.

Fadillah menjelaskan bahawa GPS adalah komponen parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan mengikut titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu pelbagai parti politik membentuk sebuah kerajaan yang stabil.

“Dengan titih Yang di-Pertuan Agong itu, GPS harus akur dan memilih untuk menyertai Kerajaan Perpaduan demi kestabilan negara sekali gus menamatkan parlimen tergantung selepas PRU-15,” tambahnya.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I Datuk Dr Annuar Rapaee, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II Michael Tiang Ming Tee, Adun Bukit Assek Chieng Jin Ek, Adun Katibas Lidam Assan dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Romeo Christopher Tegong.

Suara Sarawak