Chong Chieng Jen

KUCHING: Kerajaan Sarawak harus membantu penternak babi dan membantu menstabilkan harga daging babi.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Chong Chieng Jen berkata ia memandangkan harga daging babi akan dinaikkan lagi RM3 sekilogram, lebih-lebih lagi menjelang perayaan Tahun Baru Cina.

Menurutnya, isu kenaikan harga daging babi di negara ini telah mendapat perhatian daripada Timbalan Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan, Chan Foong Hin dan beliau telah berdialog dengan penternak babi serta pihak berkepentingan.

Katanya hasil daripada itu, perjanjian telah dicapai bahawa harga daging babi tidak akan dinaikkan sebelum Tahun Baru Cina.

Bagaimanapun, katanya memandangkan kementerian Chan tidak mempunyai bidang kuasa ke atas Sarawak yang mempunyai autonomi dalam aspek itu, keputusan dan dasar sedemikian tidak boleh digunakan di Sarawak.

“Apa yang lebih mengecewakan rakyat Sarawak ialah tiada apa-apa yang dilakukan untuk membantu menstabilkan harga daging babi,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Chong yang juga Pengerusi DAP Sarawak menambah beliau telah membangkitkan perkara itu dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lalu tetapi Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah tidak menghasilkan sebarang penyelesaian konkrit.

“Supp, walaupun ADUNnya ramai dan juga dalam kabinet, juga gagal menangani dan menyelesaikan perkara itu.

“Jika Chan Foong Hin boleh sekurang-kurangnya menstabilkan harga daging babi di Semenanjung Malaysia semasa musim Tahun Baru Cina, tidak ada sebab mengapa Kerajaan Sarawak tidak boleh,” katanya.

Sehubungan itu, Chong menyeru agar Kerajaan Sarawak menjadi lebih proaktif dalam melaksanakan autonomi untuk membantu rakyat Sarawak.

Suara Sarawak