Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUCHING: Kerajaan Persekutuan tiada masalah untuk menaikkan harga siling projek bernilai RM50 juta kepada Sabah dan Sarawak, kataPerdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan bersedia menambahkan had peruntukan itu sekiranya projek – projek berkenaan berjalan lancar.

“Berdasarkan pengalaman, pelaksanaan projek di peringkat Kerajaan Persekutuan mengambil masa yang lama malah terdapat peruntukan yang tidak dapat dibelanjakan.

“Disebabkan itu kita memutuskan agar projek bernilai kurang dari RM50 juta dilaksanakan mengikut negeri di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, semalam.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Sementara itu kata Anwar, cabaran di peringkat negeri sekarang adalah untuk mempesatkan pelaksanaan projek tersebut dan ia boleh dilaksanakan segera.

Bagaimanapun katanya, pemantauan dari segi peraturan kewangan projek akan dipatuhi seperti biasa.

Pada pada sama, Abang Johari menzahirkan penghargaan terhadap Perdana Menteri sambil berkata, apa yang penting dalam melaksanakan projek diamanahkan Kerajaan Persekutuan adalah nilai integriti.

“Ini kerana dalam melaksanan projek-projek itu di bawah satu perolehan, terdapat prosedur-prosedur yang harus kita patuhi.

“Justeru, saya mewakili rakyat Sarawak menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana telah menyelesaikan beberapa perkara dalam perbincangan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Namun, satu perkara yang saya ingin ketengahkan ialah mesyuarat ini bukan sekadar perbincangan sebaliknya adalah pelaksanaan dan merupakan pendekatan lain daripada yang lain.

“Ini kerana perkara itu telah termaktub dan ia hanya perlu dilaksanakan sahaja dan jika terdapat beberapa masalah teknikal, ia boleh diselesaikan,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji Noor berkata meskipun masih ada beberapa isu perlu perbincangan lanjut terutama berkaitan Artikel 112D Perlembagaan Persekutuan dan MA63, beliau yakin isu berkenaan dapat diselesaikan di bawah pimpinan Perdana Menteri.

Suara Sarawak