BETONG: Skuad Jang Bukit Saban menepati ramalan apabila muncul juara Piala Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggas Embas 2022.

Menumpaskan Semarang Village United (3-1) menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terbabit terikat (3-3) sepanjang 120 minit masa permainan, termasuk 30 minit masa tambahan pada aksi final yang berlangsung di Kompleks Sukan Betong sebentar tadi.

Tiga gol Jang Bukit Saban dijaringkan Azafarezal Harun pada minit ke-12, Awang Kamaruddin Awan Bohan pada minit ke-51 dan Mohamad Aiman Asraf Johari pada minit ke-90 (+4).

JUARA…Dr Richard Rapu dan Abang Suhordie Abang Zaini (tengah) merakam gambar bersama-sama barisan pemain pasukan Jang Bukit Saban. – FOTO GHAZALI BUJANG

Sementara itu, tiga gol Semarang Village United dijaringkan oleh Saifullah Musa minit pada ke-28 dan 29. Satu lagi gol dijaringkan oleh Mohamad Azhari Madihi pada minit ke-54.

Kejayaan itu membolehkan barisan pemain Jang Bukit Saban membawa pulang wang tunai RM7,000 berserta piala dan pingat.

Manakala, wang tunai RM5,000 termasuk piala dan pingat diterima pemain Semarang Village United selaku naib juara.

Dalam pada itu, dua pasukan iaitu Hermanos FC dan Saratok FA yang tewas diperingkat separuh akhir masing-masing menerima wang tunai RM2,000 beserta pingat selaku pemenang tempat ketiga bersama.

Penyerang sensasi Semarang Village United, Muhammad Zikkerul Abdul Kadir dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.

Bintang sensasi Jang Bukit Saban, Paul Sambang menerim anugerah penjaring terbanyak dengan sejumlah 16 gol.

Ketua pasukan Semarang Village United, Azamuddin Murat pula dipilih sebagai penerima anugerah pemain harapan terbaik.

Ketiga-tiga pemain terbabit menerima wang tunai masing-masing RM200 dan piala.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan Ahli Parlimen Betong, Dr Richard Rapu.

Hadir sama pada Presiden BDFA Abang Suhordie Abang Zaini, Naib Presiden FAS Phillip Jabu, Pengarah Teknikal FAS David Usop serta ketua-ketua jabatan kerajaan.

Suara Sarawak