KUCHING: Gergasi serba mantap, Jang Bukit Saban berazam mencetak kemenangan untuk memuktamad gelaran juara Piala Timbalan Premier Sarawak 2022 menjadi milik mereka.

Sekali gus, cuba menjadikan Semarang Village United pada aksi final di Kompleks Sukan Betong petang esok landasan terbaik merealisasi misi penting itu.

Ketua jurulatih, Faizul Sulaiman menegaskan, anak-anak buahnya siap sedia untuk mengharungi gelora sebenar aksi final petang esok.

PILIHAN JUARA…Barisan utama pasukan Jang Bukit Saban.

“Persiapan kita berjalan lancar, pemain kini bersedia untuk menghadapi lawan (Semarang Village United) petang esok,” ujar Faizul ketika mengulas persiapan pasukannya.

Faizul berharap anak-anak buahnya dapat fokus sepanjang tempoh 90 minit permainan sebenar nanti.

Katanya, Jang Bukit Saban semahunya mengelak aksi petang esok berlanjutan sehingga penentuan sepakan penalti.

“Kalau boleh kami mahu melangsai tugas untuk tempoh 90 minit sahaja,” tambah Faizul lagi.

Suara Sarawak