SELAMAT tahun baharu 2023. Azam? Semua orang memiliki azam.

Saya pun ada azam.

Saya mahu menjadi yang lebih baik berbanding tahun lepas.

Saya mahu menjadi ibu yang baik berbanding tahun sebelumnya.

Saya mahu menjadi isteri bahagia berbanding tahun-tahun sebelum ini – bukan tiada bahagia, maksudnya saya lebih bahagia.

Saya mahu menjadi ketua yang lebih bagus berbanding tahun lepas – bukan tidak bagus tetapi mahu dua kali ganda lebih bagus. Semua orang ada hak untuk memasang azam.

Azam itu percuma jadi sesiapa pun boleh memasang azam.

Masa berlalu begitu cepat, 365 hari tahun 2022 ke mana menghilang?

Ada yang masih tertunggak, ada kerja yang belum beres tahun lepas boleh dibawa ke tahun ini.

Malangnya masa tidak menunggu kita – saya pun tidak akan membawa azam yang tertinggal tahun lepas ke tahun ini.

Waktu tetap berlalu.

Dan waktu yang pergi itu tidak akan berganti atau berulang lagi. Ia semuanya telah menjadi catatan sejarah hidup kita.

Jika ada yang tidak ditunaikan, maka hanya kekesalan yang akan dirasai.

Jika masa dibiarkan terbuang begitu sahaja, rugi! Kerana sesuatu yang baik dan yang berfaedah tidak dilakukan mungkin kerana kita menunda untuk melakukannya ke hari esok atau lusa.

Justeru, saya mahu menjadi ketua yang lebih baik dan bagus – walaupun di organisasi kecil.

Sekecil-kecil mana pun, mengawal insan-insan yang memegang dunia tanpa sempadan bukan mudah.

Saya tidak meminta kesempurnaan, cukup mereka berazam untuk menjadi yang lebih baik, berubah daripada perlahan kepada pantas, berubah daripada yang tidak tegas menjadi lebih tegas membuat keputusan.

Berubah daripada tidak pandai menguasai bahasa kepada yang terbaik.

Perubahan ini menuntut azam yang tekad, bukan sekadar angan-angan Mat Jenin.

Berubah lebih tegas dan pantas dalam membuat keputusan kerana ia menjadi kerangka penting untuk mengukur indeks prestasi.

Saya sukakan mereka yang tegas membuat keputusan, bukan play safe.

Jika ya, jawapannya ya. Jika tidak, jawapannya tidak.

Bukan meletakkan jawapan berada di tengah-tengah.

Sebagai ibu pula, saya berazam untuk tegas terhadap anak-anak.

Saya mahu menjadi ibu lebih baik dan menyediakan yang terbaik untuk anak-anak.

Ini kerana menyunting berita setiap hari mengenai jenayah remaja menjadikan saya seorang ibu yang ketakutan. Setiap malam saya takut apa akan jadi dengan anak saya jika tidak tegas.

Soal dadah, rogol, curi dan tipu perlu ditakuti oleh semua ibu bapa.

Saya akui, saya lebih tegas dengan anak lelaki berbanding anak perempuan.

Kerana sifat anak perempuan sebagai penurut apa-apa yang ditetap ibunya.

Sebab itu, saya akan soal anak lelaki berkali-kali untuk benda yang bukan masalah besar.

Saya berazam mahu menjadikan anak lelaki saya seorang lelaki yang budiman dan berjaya.

Budiman kepada masyarakat, ibu bapa, wanita yang bakal menjadi menantu saya suatu hari nanti dan berjaya dalam kehidupan.

Saya pesan kepadanya berkali-kali, jangan sesekali sakiti wanita, sebab itu dia harus menjadi lelaki budiman – walaupun usianya memasuki 20 tahun.

Saya percaya pesanan saya hari ini, akan tertanam dalam fikirannya sehingga akhir hayat.

Sayangi wanita yang dicintainya sebagaimana dia menyayangi saya.

Saya juga berazam kepada diri sendiri untuk menjadi yang seadanya dan bersederhana dalam setiap perkara.

Azam pun harus realitistik.

Berjanji pada diri untuk melakukan apa yang termampu sahaja. Jangan melebih-lebih bimbang tidak tercapai dan mengecewakan kira sendiri.

Azam juga harus diberi jangka masa pelaksanaan yang munasabah sekali gus memastikan setiap azam ditunaikan.

Yang penting, ia membawa kita pada tahap yang lebih tinggi dalam kehidupan harian serta membantu kita menghasilkan prestasi yang lebih baik dalam urusan seharian kita.

Setiap azam memerlukan tanggungjawab sebaik mungkin atau sekurang-kurangnya lebih baik daripada tahun lalu.

Renung kembali di manakah salah dan silapnya yang menghalang kita berprestasi seperti sepatutnya.

Adakah pada tahun lalu kita menjadi orang yang lebih baik, rajin dan berdisiplin.

Saya rasa azam untuk yang tidak berdisiplin adalah meningkatkan disiplin.

Ini kerana dalam semua perkara, disiplin penentu siapa diri kita sebenar.

Penjual makanan di bahu jalan pun ada disiplin – disiplin masa, disiplin menyimpan keuntungan dan sebagainya.

Peniaga pula wajar berazam berniaga dengan beretika dengan rasa tanggungjawab.

Manusia yang tidak berdisplin tahun lalu harus berazam meningkatkan disiplin tahun ini.

Saya secara peribadi sangat benci manusia yang tidak berdisiplin dalam kerja.

Saya tidak suka orang yang tidak mematuhi janji dan masa.

Tahukah kalian, orang berjaya merupakan manusia yang mementingkan disiplin.

Jika disiplin yang menghalang kita untuk berjaya, jadi berubahlah.

Dan, fikirkan bagaimanakah ia boleh diperbaiki.

Begitu juga mereka yang diamanahkan dengan jawatan dan kuasa dalam pelbagai bidang, wajar membuat azam untuk tidak mengabaikan tanggungjawab dan berpegang teguh kepada khidmat dengan berintegriti.

Berazam untuk menunaikan harapan mereka yang dipimpin, serta mengetepikan kepentingan diri.

Seperti tahun lepas menyaksikan pelbagai pergolakan politik dan masalah di dalam negara, dan kita tidak boleh menyalahkan tahun tersebut.

Tahun ini ataupun tahuntahun selepas itu, pasti akan dibelenggu oleh masalah dan kelam-kabut sekiranya kita masih tidak mengakui kekurangan dan kesilapan diri.

Wajar kita bersama-sama berazam, menjelang 2023 untuk melaksanakan apa sahaja azam kita.

Pastikan kita berubah menjadi lebih bagus.

Kita perbetulkan apa yang tidak betul, memperbaiki apa yang kurang elok dan menokok tambah kepada apa-apa yang jelas baik supaya tidak semata-mata menyambung masalah yang lalu.

Azam tahun baharu sewajarnya azam menyumbang kepada kesejahteraan untuk diri sendiri dan komuniti.

Pernahkah kita terfikir apakah agaknya azam tahun baharu orang-orang berjaya.

Adakah azam mereka sama seperti kita? Atau ada keunikan yang akan membantu mereka terus berjaya?

Orang berjaya tidak memanggil azam tahun baharu sebagai azam kerana mereka lebih menyukai ia sebagai matlamat yang perlu dicapai dalam tahun tersebut.

Jadi, hukum hidup untuk berjaya harus berguru yang insan yang berjaya – justeru, berazamlah untuk berjaya seperti orang lain juga!

Suara Sarawak