KUCHING: Satu Jawatankuasa Khas di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan bagi menyelesaikan masalah kewarganegaraan dalam kalangan kanak-kanak di Sarawak dipersetujui untuk diaktifkan semula.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia telah dipersetujui oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika menerima kunjungan hormat daripada beliau di Putrajaya semalam.

“Oleh itu, Menteri Dalam Negeri akan mempengerusi bersama jawatankuasa khas ini.

“Mesyuarat pertama jawatankuasa ini akan diadakan di Kuching,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Saifuddin di Putrajaya.

Jelas Fatimah, Datuk Seri Saifuddin dipercayai akan memberi komitmen tinggi terhadap isu kewarganegaraan di Negeri Sarawak.

Turut serta dalam rombongan tersebut adalah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus dan Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Mohammad Razi Sitam.

Suara Sarawak